Thursday, June 25, 2009

Dah Jumpa Dah

Ini adalah petikan dari Harian Metro yang menyatakan bahawa dua beradik yang hilang (sila baca post aku sebelum ini) telah di temui semula dalam keadaan selamat. Alhamdulillah!

Petikan dari Harian Metro Online

Panik 26 jam

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Sri Ayu Kartikawati Amri
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Bimbang dimarah ibu kerana keputusan peperiksaan kurang memberangsangkan, seorang murid lelaki tahun empat lari dari rumah sambil membawa adik perempuannya berusia lapan tahun dipercayai untuk mengadu masalah kepada ibu saudaranya.

Murid berusia 10 tahun itu dikatakan meninggalkan rumah sehelai sepinggang tanpa membawa satu sen wang dari rumahnya di Jalan Kuching, di sini, untuk berjalan kaki sejauh lebih 30 kilometer ke rumah ibu saudaranya di Cheras.

Kehilangan kanak-kanak itu mencetuskan trauma terhadap ibunya yang bimbang nasib sama dialami mangsa culik dan bunuh, Nurin Jazlin Jazimin, 8, lebih dua tahun lalu, berulang.

Ibu dua kanak-kanak itu, Sharmiza Zuleiman, 37, berkata kehilangan anaknya itu disedari kira-kira jam 9 malam Isnin lalu selepas dia pulang ke kondominiumnya di Taman Sri Putramas Jalan Kuching, di sini.

Dia yang baru pulang daripada kerja terkejut mendapati dua anaknya, Nadia Natasha, 8, dan anak lelakinya, Ahmad Zikry, 10, hilang dari rumah manakala pintu rumah dalam keadaan terbuka.

Menurutnya, dia panik mencari anaknya di bilik tidur dan dapur, namun kelibat dua beradik itu masih gagal dikesan.

“Berikutan bimbang keadaan kedua-dua anak saya itu, saya segera membuat laporan polis walaupun ketika itu kehilangan tidak sampai 24 jam. Sebaik membuat laporan polis, saya dan suami berusaha mengesan kedua-dua anak kami itu yang dibimbangi tersesat selepas keluar dari kawasan berhampiran.

Menurut Sharmiza, biasanya mereka akan pulang terus ke rumah sebaik selesai menghadiri sekolah agama sesi petang.

“Selalunya, dua anak saya itu akan berada di rumah selepas saya pulang dari kerja pada jam 6 petang, namun pada hari kejadian saya terpaksa pulang lewat berikutan banyak kerja di pejabat yang perlu diselesaikan.

“Usaha kami untuk mengesannya hampir menemui jalan buntu apabila saudara-mara dan datuknya yang dihubungi di Setapak turut memberitahu tidak melihat dua anak saya itu,” katanya yang bertugas sebagai pegawai bank.

Sharmiza berkata, dia bimbang anaknya diculik seperti kes Nurin Jazlin dengan menjadikan Zikry sebagai umpan untuk mendapat anak perempuannya.

Namun, semua kerisauan itu terlerai apabila seorang pegawai polis Sentul menghubunginya jam 11 malam kelmarin iaitu kira-kira 26 jam selepas kehilangan dua anaknya.

Menurutnya, pegawai polis itu memberitahu dua anaknya yang hilang itu sudah ditemui dan dijaga sementara seorang orang awam tidak dikenali.

“Suami saya kemudian mengambil kedua-dua anak di balai polis sebelum membawa mereka pulang. Sewaktu di rumah, barulah saya mengetahui kehilangan mereka akibat Zikry bimbang dimarahi berikutan keputusan peperiksaan kurang memberangsangkan.

“Zikry yang mesra dipanggil abang mungkin bimbang saya memarahinya sebelum lari dari rumah dan merancang pergi ke rumah ibu saudaranya di Bandar Tasik Permaisuri Cheras,” katanya.

Menurutnya, Nadia Natasha turut memberitahu dia berhajat pulang semula ke rumah tetapi tidak dipersetujui abangnya yang masih mahu meneruskan perjalanan ke rumah ibu saudaranya.

Bagaimanapun, dua beradik itu ditemui orang awam yang simpati sebelum membawa mereka ke balai polis berhampiran.

Namun, identiti orang terbabit menjadi misteri kerana tidak mahu diketahui.

“Sehingga kini, saya trauma kerana insiden itu dan dugaan yang menimpa ini akan saya ambil sebagai iktibar,. Saya juga akan lebih berhati-hati dan mengambil tahu mengenai hal mereka dua beradik dari semasa ke semasa,” katanya.

0 comments:

 
design by suckmylolly.com